sukan

Kelab Indonesia mahu KL City gigit jari

KUALA LUMPUR: Kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC Samarinda jelas berada pada momentum yang terbaik dan tampil dengan persiapan rapi dalam misi meraih tiga lagi mata pada Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 berdepan KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

Pengendalinya, Pietar Huistra menegaskan dia sudah membuat analisis mengenai skuad ‘Warga Kota’ menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu dan persembahan terbaik dituntut daripada anak buahnya bagi meneruskan rentak kemenangan dalam pertandingan itu.

Malah, rekod tanpa kalah dalam saingan Liga 1 selepas mengharungi enam perlawanan tampak menjadi motivasi terbaik meskipun Huistra sedar tuan rumah pasti akan memberikan cabaran yang sukar pada aksi di hadapan penyokong sendiri.

“Kita tahu bagaimana cara mereka, kita sudah melihat corak permainan mereka jadi, saya boleh katakan yang kita sudah bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kita tidak seharusnya terikut dengan rentak pasukan lawan dan kekal bermain dengan cara permainan kita seperti sebelum ini. Saya hanya mahukan barisan pemain saya memberikan yang terbaik dan selepas itu, kita lihat apa keputusannya.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai itu (keputusan) kerana ada kalanya, kita beraksi dengan sangat baik tetapi kita hanya mampu meraih keputusan seri,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.

Sebagai rekod, pasukan yang ketika ini menghuni tangga kedua Liga 1 Indonesia membuka kempen ACC 2024/25 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas wakil Liga Singapura, Lion City Sailors FC.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Belanda itu mengakui dia perlu mengambil keputusan yang teliti khususnya dalam mencatur senarai pemain import yang akan diturunkan pada aksi terbabit.

sumber:-BH

“Saya ada lapan pemain import tetapi hanya lima pemain yang boleh diturunkan. Ini satu keputusan besar yang perlu saya lakukan tetapi semua pemain berada dalam keadaan cergas,” katanya.