KUALA TERENGGANU: Peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) meletakkan harapan tinggi supaya pengantin baharu, Akhyar Rashid mampu memperagakan aksi lebih berkualiti lagi bersama skuad Penyu itu bagi musim 2025-26.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, sudah pasti motivasi pemain lincah itu kian meningkat selepas menamatkan zaman bujangnya.
Jumaat minggu lalu, tonggak kebangsaan itu selamat sah bergelar suami kepada pelakon, Eyka Farhana selepas tujuh tahun menyulam cinta dengan buah hatinya itu.
“Musim pertama bersama pasukan TFC, kami gembira dengan komitmen dan prestasi yang diperagakan pemain Harimau Malaya itu.
“Jadi untuk musim kedua nanti yang dijangka bermula pada Ogos ini, kami mengharapkan Akhyar mampu mempamerkan aksi lebih baik dan berkualiti untuk membantu peningkatan pasukan.
“Kami percaya dengan motivasi yang pastinya lebih tinggi selepas dia (Akhyar) menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya, TFC dapat memperbaiki pencapaian pada saingan selepas ini.
“Kami para penyokong sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan walau dalam apa jua sekali pun dengan harapan pemain beraksi sungguh-sungguh,” kata Mohd Isa ketika dihubungi.
Pada Januari lalu, pemain kelahiran Kedah itu yang mula menyarung jersi TFC bagi musim 2024-25 tidak lagi bergelar pemain pinjaman selepas diperkenankan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
sumber:- BH
Bagaimanapun rakan sekelabnya, Safawi Rasid masih bergelar pemain pinjaman selepas belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan JDT.