KUALA LUMPUR: Adakah pasukan yang pernah menjadi gergasi Liga Malaysia (Liga M), Kelantan FC akan kembali ‘bernyawa’ selepas hilang dari ‘radar’ bola sepak tempatan?
Spekulasi itu bertiup kencang selepas jaguh Pantai Timur itu didakwa bakal membuat kebangkitan selepas wujud sebuah laman sosial Facebook baharu dengan nama ‘Kelantan Red Warrior FC’ menjadi tular ketika ini.
Menerusi semakan di laman sosial terbabit, pasukan terbabit kini hanya menghitung hari untuk mengumumkan sesuatu yang besar membabitkan pasukan itu.
“Nantikan berita baik dari kami. Semoga dipermudahkan semuanya,” tulis laman terbabit.
Setakat hari ini, laman terbabit sedang menghitung tujuh hari lagi.
Selain itu, laman itu turut berkongsi tangkap layar laporan Berita Harian dengan tajuk ‘TRW mungkin hidup semula’ sekali gus menyemarakkan lagi spekulasi mengenai pasukan ini akan beraksi kembali.
Sebagai rekod, The Red Warriors (TRW) hilang daripada arena bola sepak tempatan pada tahun ini selepas disingikirkan daripada saingan Liga Super susulan masalah kewangan.
Namun, pasukan itu cuba diselamatkan menerusi inisiatif Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) yang menyatakan hasrat untuk membeli pasukan terbabit dengan RM1.
Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan GSK bersedia mengembalikan kegemilangan pasukan itu dengan mahu membeli kelab terbabit dengan harga RM1 dan sanggup menanggung hutang kurang RM5 juta.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pula menjelaskan beliau sedia menjual kelab itu dengan pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya modal yang sudah dikeluarkan beliau selama empat musim menguruskan TRW.
sumber:- BH
Jumlah itu termasuk hutangnya dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjumlah RM3.8 juta dan individu atau pemilik baharu boleh menyambung tuntutan terhadap persatuan itu.