sukan

Kelantan TRW rekrut dua pemain baru

KUALA LUMPUR: Pasukan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC mendapatkan sentuhan bekas pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.

Perkembangan itu diumumkan Presiden Kelantan TRW FC, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebook miliknya, hari ini, sambil menjelaskan Nor Azam antara dua tonggak penting yang dibawa masuk ke skuad itu.

Beliau berkata, seorang lagi tonggak penting di bahagian tengah diikat Kelantan TRW adalah bekas pemain import Terengganu FC dan Kedah Darul Aman, Habib Haroon.

“Sebagai usaha memperkasa bahagian tengah pasukan Liga Super Kelantan, kita bersetuju membawa masuk dua tonggak penting. Nor Azam Azih dan Habib Haroon kini sebahagian daripada skuad 28 pemain TRW.

“Dua lagi pemain tempatan dan seorang pemain ASEAN akan memperkukuh barisan pertahanan. Kini skuad Kelantan TRW lengkap dan bersedia memulakan saingan liga dan Piala FA mulai Ogos ini,” tulis Annuar.

Selain itu, Annuar turut memaklumkan jersi Kelantan TRW yang akan digunakan untuk musim 2025/26 bakal dilancarkan pada Jumaat ini.

Beliau turut mencadangkan jersi itu dapat dijual di bawah harga RM100 bagi memastikan penyokong tidak terbeban untuk mendapatkan jersi skuad terbabit.

“Semoga setiap keluarga rakyat Kelantan dan penyokong TRW semuanya memiliki sekurang-kurangnya sehelai jersi TRW 2025/26. Tunggu Jumaat ini, pasukan penuh Liga Super Kelantan TRW muncul memperagakan jersi musim 2025/26 serta memperkenalkan jersi edisi khas,” tulisnya.