sukan

Kelayakan Piala Asia: Komen Jurulatih Laos sebelum aksi berdepan Malaysia di Bukit Jalil

Ketua jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun, berpandangan trend mengambil pemain berdarah warisan bukan sahaja sedang giat berlaku di Malaysia, malahan semua pasukan dalam Asia Tenggara ketika ini.

Ini susulan tujuh pemain Malaysian Abroad yang diberikan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen sebelum ini.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berasakan negara seperti Jepun dan Korea Selatan tidak melakukan hal sama kerana terdapat kesan tersendiri.

“Seperti yang semua maklum Laos tewas 0-3 kepada Malaysia dalam aksi sebelum ini, banyak perlu dipelajari dan juga analisis. Kami belajar banyak perkara dengan kesilapan sebelum ini, kami harap dapat melakukan yang terbaik.

“Pemain dalam keadaan baik dan tidak berdepan masalah, kami mempersiapkan pemain untuk aksi esok.

“Berdasarkan situasi itu, kami tidak mengetahui maklumat secara terperinci. Negara seperti Korea Selatan atau Jepun tidak menggunakan (pemain naturalisasi) langsung sejak dahulu lagi atas sebab tertentu.

“Kami memahami kelebihan tindakan itu untuk meningkatkan mutu bola sepak dalam masa yang singkat tetapi terdapat kesan. Kami tidak memikirkan perkara itu dan fokus pada aksi nanti.” katanya.

Dalam pada itu, dia turut sempat bertanyakan pandangan media dalam negara berdasarkan kemelut yang berlaku itu.

“Terdapat trend di Asia Tenggara ketika ini bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia dengan membawa masuk pemain warisan dan kadangkala bukan pemain warisan untuk mewakili negara tertentu.” tambahnya.