sukan

Kelayakan Piala Asia : Malayan Tigress B-17 buka kempen dengan langkah kanan

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita bawah 17 (B-17) tahun negara membuka kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Syria 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

Malayan Tigress B-17 yang turun tanpa penyerang sensasi, Lim You dalam kesebelasan utama memperoleh peluang terbaik pada minit ke-12, namun percubaan Dishanna Nagarajan Pillay di dalam kotak penalti tidak menepati sasaran.

Syria turut melepaskan peluang untuk berada di depan pada minit ke-35 apabila Masa Mena gagal melakukan tolakan lebih kemas ke dalam gawang selepas berlaku kelam kabut di hadapan pintu gol Malaysia.

Malayan Tigress B-17 kemudian mendapat peluang pada penghujung babak pertama, bagaimanapun sepakan percuma Keisha Adeliena Muhammad Khalid hanya sedikit melepasi palang gol.

Anak kepada bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus itu sekali lagi menguji kubu pertahanan Syria menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol dikawal Gouli Alrifaei.

Stadium MPS bergema dengan sorakan penyokong apabila Lim You dimasukkan pada minit ke-62 bagi menggantikan Dishanna dalam usaha pengendali skuad negara, Takayoshi Ishihara menguatkan bahagian serangan.

Pertukaran yang dilakukan Ishihara ternyata membuahkan hasil apabila hantaran Lim You disudahkan Qaseh Riana Dafira Mohd Rafiuddin pada minit ke-80, sekali gus menjadi gol kemenangan Malayan Tigress B-17.