PENGENDALI Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui beliau cukup berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada Khamis ini di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.
Menurut Hodak, prestasi semasa pemain kebangsaan itu berada di tahap terbaik dan boleh menjadi pemusnah jika tidak dikawal dengan baik.
“Mereka (Selangor) memiliki ramai pemain yang pantas, dan Faisal Halim ketika ini berada dalam prestasi terbaik, jadi ia boleh menjadi sangat berbahaya,” katanya.
Tambah bekas pengendali Kuala Lumpur City FC itu, Selangor merupakan pasukan yang sedang berada dalam momentum positif selepas mencatat kemenangan dalam aksi terakhir mereka.
“Selangor sebuah pasukan yang bagus dan sedang bermain dengan baik. Mereka menang semalam dan mempunyai ramai pemain berkualiti. Kini mereka juga mempunyai jurulatih baharu yang sudah lama berada di Malaysia dan lebih memahami pemain tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, Hodak mengakui Persib perlu tampil lebih mantap dalam aspek pertahanan bagi mengekang ancaman serangan Selangor yang cukup tajam musim ini.
“Selangor menjaringkan banyak gol dalam setiap perlawanan, tetapi mereka juga banyak melepaskan gol. Jadi kami perlu mencari cara terbaik untuk menanganinya.
“Kalau mahu menang, kami perlu bertahan dengan baik dan melihat bagaimana untuk menyelesaikan masalah di atas padang,” ujarnya.
Ketika ini,Selangor berada di kedudukan tercorot Kumpulan H tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan manakala Persib Bandung pula di kedudukan kedua dengan empat mata.