sukan

Kemanakah hilangnya Arif Aiman

Selepas dua hari kem skuad kebangsaan berlangsung bermula Isnin lalu, ketiadaan pemain sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi pada sesi latihan pusat kali ini menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Mata penyokong bola sepak tempatan jelas begitu ‘tajam’ selepas mereka berjaya mengenalpasti ketiadaan Arif Aiman menerusi perkongsian di laman Facebook pasukan kebangsaan.

Menerusi tinjauan di laman Facebook Malaysia NT, kelibat Pemain Paling Bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu tidak kelihatan sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kesediaan pemain itu untuk beraksi menentang Nepal, Rabu depan.

Difahamkan, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami kecederaan ringan namun belum dipastikan sama ada dapat diturunkan untuk aksi pertama pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 itu.

Selain Arif, penyokong juga dapat ‘mengesan’ ketiadaan seorang lagi pemain tengah, Natxo Insa dan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovksi sebelum ini mengakui kehadiran pemain berdarah kacukan itu amat penting bagi memperkuat posisi tengah.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya ketika ini sedang dalam rangka persiapan untuk memulakan kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Selain Nepal, Malaysia turut diundi bersama dua lagi seteru ASEAN, Vietnam dan Laos dengan Vietnam disifatkan menjadi pencabar terbesar skuad negara dalam misi ke Arab Saudi.

sumber:- BH

Pusingan kelayakan ini jelas memberikan cabaran yang sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2027.