Kemenangan 3-0 ke atas Laos dalam kelayakan Piala Asia, malam tadi, memberi sedikit keredaan berhubung isu panas yang melanda kem kebangsaan ketika ini.
Keadaan padang yang kurang baik di Laos antara perkara yang di sentuh ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski, namun dia tidak menolak situasi itu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan padang dalam Liga Super.
Keadaan itu menjadikan ia bukan suasana baru untuk pemain negara yang sudah biasa dengan keadaan permukaan padang teruk.
Bagaimanapun, ia bukan kemenangan yang mudah buat Harimau Malaya.
Jelas Malaysia tampak berada dalam kesulitan untuk pencarian gol awal sepanjang babak pertama.
“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia, memberikan harapan dan inspirasi dalam memberikan mereka kepercayaan bahawa kami mampu mencapai sesuatu yang istimewa.
“Saya mahu berterima kasih kepada penyokong ultra (Ultras Malaya) dan penyokong yang hadir memberikan sokongan.
“Mereka membangkitkan semangat juang kami. Mereka telah saksikan semangat pemain-pemain untuk mewakili negara.
“Adalah penting untuk kekal bersabar, disiplin terhadap taktikal permainan. Kami tahu permainan kami kian meningkat — pujian buat pemain — kami terus mencipta peluang dan akhirnya kami mendapatkan ganjarannya menerusi jaringan.
“Pujian buat pemain atas kerja keras, komitmen terhadap pasukan dan mutu persembahan pasukan,” kata Cklamovski dalam sidang media pasca perlawanan.
Pemain sayap negara, Arif Aiman Hanafi, turut bersetuju dengan kenyataan mengenai kepayahan untuk memecah benteng pertahanan Laos yang memilih untuk bertahan sepenuhnya di Stadium Nasional New Laos, malam tadi.
“Perlawanan malam ini bukan mudah.
“Laos berikan saingan yang hebat, bukan hanya saya sebaliknya secara berpasukan dan berikan yang terbaik.
“Kami sedikit menderita. Malam ini bukan mudah tetapi kami bersatu dalam memberikan 100 peratus demi mencapai kemenangan,” katanya pula.