KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tidak wajar menarik diri daripada bersaing dalam kancah Liga Super musim depan!
Ini pandangan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menegaskan sesuatu yang merugikan banyak pihak jika pasukan yang mempunyai nama besar itu membuat keputusan berkenaan.
“Sejujurnya saya lihat TFC antara pasukan yang ada semangat melawan dan rekod yang baik untuk mencabar pasukan lain, jadi adalah sesuatu yang mengejutkan jika pasukan itu mengambil keputusan menarik diri.
“Masalah kewangan bukan hanya berlaku dalam pasukan TFC sahaja tapi kebanyakan pasukan lain juga mempunyai masalah yang sama, dan sesuatu yang menyedihkan serta memalukan jika pasukan yang hebat ini mengambil keputusan itu.
“Saya percaya jika perkara itu menjadi realiti, ia turut memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada bola sepak negeri tetapi kepada kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Pensyarah Jabatan Sains Kejurulatihan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu meletakkan harapan yang tinggi agar ada resolusi terbaik dengan menubuhkan badan atau pasukan petugas yang menggembleng semua ahli perniagaan dalam dan luar Terengganu tampil menghulurkan bantuan mengenai cara yang terbaik mentadbir pasukan mendapatkan sumber pendapatan yang kuat dan kekal.
“Bola sepak bukan sekadar sukan sebaliknya ia adalah ‘cinta’ dan sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia yang berfungsi sebagai universal yang menyatukan masyarakat kepada rakyat dan sekali gus dapat menjaga imej Terengganu,” ujarnya.
Semalam TFC tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada bersaing dalam saingan Liga Super dengan fokus kepada Liga A1 Semi Pro susulan masalah kewangan yang dihadapinya.