Kuala Lumpur: “Suatu hari nanti, tuhan akan beri karma semula apabila buat perkara sebegini. Jadi tidak mengapa”.
Itu luahan pasrah pengendali sementara Selangor FC (SFC), Christophe Gamel susulan beberapa keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, malam tadi.
Dalam aksi itu, skuad Red Giants terpaksa melupakan hasrat mara ke final selepas tewas kepada Sabah FC menerusi penentuan penalti 5-4 selepas aksi kedua-dua pasukan terikat 5-5 secara agregat.
Begitupun, terdapat beberapa keputusan ‘pelik’ pengadil yang boleh menimbulkan keraguan khususnya pemberian sepakan penalti kepada skuad The Rhinos di hujung permainan selain gol di masa tambahan babak pertama yang dibatalkan kerana offside.
Menurut Gamel, beliau tidak kisah pasukannya tewas dengan cara yang betul namun agak mengecewakan apabila pengadil tidak merujuk VAR dalam beberapa insiden termasuk pemberian penalti kepada Sabah dan gol yang dibatalkan.
Katanya, VAR seolah ‘tidak berfungsi’ biarpun teknologi jutaan ringgit itu dipasang sempurna di tepi padang.
“Ya penalti (itu), biarpun nampak macam bukan tapi itulah bola sepak. Tidak mengapa, di mana kadang-kadang ya berlaku. Kad merah itu juga terlalu mudah diberikan.
“Cuma apa yang saya tak faham, beberapa kesalahan ada VAR di situ, tapi seolah VAR tak ada di situ. Saya enggan ulasnya dan biarkan.
“Suatu hari nanti, tuhan akan beri karma semula apabila buat perkara sebegini. Jadi tidak mengapa,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Sepanjang aksi itu, Selangor FC turut terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Diarra Mamadou dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan.
Tambah Gamel lagi, beliau turut menegur sikap pemain yang mengambil mudah ketika penentuan sepakan penalti khususnya Harith Haiqal yang agak bersahaja menendang sebelum mudah dihalang penjaga gol Sabah FC, Damien Lim.
“Saya tidak tahu jika itu ego atau sesuatu, tetapi tidak. Setiap pemain perlu ada naluri ‘pembunuh’ dan itulah yang dituntut di tahap tertinggi. Apabila anda perlu melakukannya dan ia perlu dilakukan, jika tidak kita akan tersingkir,” katanya.
Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir pertama di Likas sebelum ini.
Faisal Halim meledak dua gol di minit 32 dan 73, manakala satu lagi menerusi Chrigor Moraes minit 51. Sabah pula meraih tiga gol hasil jaringan Dane Ingham (minit 47) dan Ajdin Mujagic (minit 62 dan penalti minit 88).