Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2027 dengan meraih satu mata selepas seri 0-0 menentang Indonesia dalam aksi pertama Kumpulan H di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, petang ini.
Keputusan itu boleh dianggap memberangsangkan buat anak buah Shukor Adan selepas Indonesia tampil lebih kemas, menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta lebih banyak peluang sepanjang perlawanan. Malaysia bagaimanapun berjaya mengekalkan disiplin permainan, terutama ketika bertahan, bagi memastikan gawang tidak dibolosi sehingga tamat aksi.
Indonesia memperoleh peluang terbaik awal menerusi Arkhan Kaka Putra pada minit ke-18, namun percubaannya berjaya dihalang pertahanan negara. Dua minit kemudian, Nazriel Alfaro melepaskan rembatan yang melambung tinggi sebelum Amar Brkic turut gagal menemui sasaran pada minit ke-28.
Tekanan Indonesia berterusan apabila Muhammad Isfandyar Abdillah mencuba nasib pada minit ke-37, tetapi Faez Iqhwan Muhamad Azmi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan itu. Penjaga gol negara sekali lagi diuji menerusi rembatan jarak jauh Indonesia empat minit kemudian, namun kedudukan kekal tanpa jaringan.
Malaysia turut memiliki sekurang-kurangnya dua percubaan untuk menguji gawang Indonesia pada separuh masa pertama, tetapi tiada yang berjaya menghasilkan gol. Kedua-dua pasukan akhirnya memasuki waktu rehat dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, Malaysia memulakan permainan dengan lebih agresif. Tengku Hasyri Shah Meerza melakukan percubaan tepat pada minit ke-47, tetapi bola mudah didakap penjaga gol Indonesia, Dafa Al Gasemi Setiawarman.
Indonesia kembali memberi tekanan apabila Rafi Rasyiq mencipta peluang pada minit ke-65. Satu lagi situasi satu lawan satu hadir pada minit ke-75, tetapi Faez Iqhwan sekali lagi menjadi penghalang utama dan memastikan Malaysia terus tidak bolos.
Peluang paling berbahaya Indonesia hadir pada minit ke-78 apabila tandukan Irpan Abadi Siregar dari kedudukan betul-betul di hadapan gawang Malaysia melepasi sasaran. Situasi itu tercetus selepas tendangan Faez Iqhwan yang cuba mengeluarkan bola melambung perlahan, namun Indonesia tetap gagal memanfaatkan peluang berkenaan.
Selepas aksi pertama ini, Malaysia akan meneruskan pemburuan tiga mata apabila berdepan Australia pada Khamis sebelum menutup kempen kelayakan menentang tuan rumah Laos pada Ahad.
Dalam kempen ini, hanya lapan juara kumpulan bersama tujuh pasukan tempat kedua terbaik serta tuan rumah China akan layak ke Piala Asia B-20 2027 yang dijadual berlangsung pada Mac 2027.
Sebagai rekod, Malaysia gagal mara ke pusingan akhir edisi 2025 di China selepas menamatkan pusingan kelayakan di Tajikistan pada kedudukan keempat dengan lima mata daripada lima perlawanan. Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir ialah edisi 2020 di Uzbekistan, namun pertandingan itu dibatalkan susulan COVID-19.
Pencapaian terbaik negara dalam Piala Asia B-20 adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali, masing-masing pada edisi 1959, 1960 dan 1968.