sukan

kesedihan Nurul Izzah terubat selepas mengetahui keputusan

BINTANG muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mengakui kesedihan tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana menyertai kejohanan antarabangsa, terubat selepas secara tidak rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 20 tahun itu yang sebelum ini disasarkan layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) berkata, perkhabaran mengesahkan slot di Paris 2024 dalam acara keirin dan pecut itu sangat bermakna, apabila ia bakal menjadi debut beliau, selain merupakan pencapaian terbesarnya setakat ini.

“Saya rasa raya tahun ini terubat, kiranya saya pergi tak balik tangan kosong, ada hasil walaupun saya dapat tempat kelapan tetapi ia sangat bermakna, sebab saya pun tak pernah lepas pusingan awal.

“Ini juga salah satu pencapaian terbesar yang saya dapat,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari kejohanan kejohanan Piala Negara-negara UCI di Milton, Kanada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Semalam, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan, tiga atlet berbasikal trek negara diketuai Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah, secara tidak rasmi layak ke Paris.

Menurut Amarjit, perkara itu berdasarkan kepada kutipan mata dipungut ketiga-tiga atlet itu dan senarai rasmi dijadual akan dihantar kepada semua Jawatankuasa OIimpik Kebangsaan (NOC), bulan ini.

Kejayaan layak ke Paris 2024 sekali gus menjadikan Nurul Izzah pelumba wanita Malaysia kedua beraksi di Sukan Olimpik selepas bekas jaguh negara Fatehah Mustapa dan muncul pelumba wanita negara pertama beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut di temasya sukan berprestij itu.

sumber:-SH

“Impian di Paris, untuk cuba berikan lebih baik daripada apa yang saya buat di Milton dan saya harap boleh perbaiki catatan masa dalam acara pecut. Bagi saya Olimpik satu langkah besar dan penting (dalam karier),” kata Nurul Izzah.