sukan

Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua dedah punca kekalahan kepada JDT

Johor Bahru: Pengendali Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutskiy tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah bekas jurulatih CSKA Moscow dan Hull City itu menegaskan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi bagaikan duri dalam daging pada pertembungan itu selepas dua daripada tiga gol skuad kendalian Xisco Munoz berpunca daripada kelicikan pemain itu.

“Gol pertama JDT bukan sebab kami hilang fokus, sebaliknya pemain bernombor 42 (Arif Aiman) begitu licik dengan keupayaan membelah benteng kami dan melakukan umpanan yang menghasilkan gol buat JDT, malah dia paling menyerlah dalam saingan ACLE.

“Dia pernah mengecewakan kami musim lalu dan malam ini (malam tadi) dia lakukan lagi manakala benteng kami terlalu memberi ruang untuk dia bergerak bebas dan bijak untuk mengatasi pertembungan satu lawan satu dalam perlawanan itu.

“Dia pandai untuk mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain kami dan saya tidak menafikan ada ketika kami buat silap, malah tidak boleh fokus dengan hanya satu kesilapan tapi dia memang memiliki skil yang tinggi dan ia menyakitkan buat kami kerana gagal halang dia bergerak bebas,” katanya.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Russia itu menegaskan barisan pemainnya sudah bermain secara kompak dan berusaha beraksi secara bertahan namun gaya permainan yang ditonjolkan ketika berdepan JDT terlalu perlahan dan tidak dapat menyesuaikan diri dengsn rentak permainan bagi mengimbangi kekuatan pasukan lawan.

Tegas pengendali berusia 54 tahun itu, barisan pemainnya berdepan perlawanan yang berbeza berbanding pada aksi musim lalu ketika menentang JDT tatkala cuba untuk memberi saingan kepada anak buah Munoz yang jelas mendominasi permainan.

“Bukan kami tidak boleh jaringkan gol, sebaliknya dua gol yang kami jaringkan dibatal oleh pengadli perlawanan dan ada ketika kami mampu mencemaskan benteng JDT, tapi gagal menyudahkan percubaan yang dimiliki.

“Malah ramai tertanya-tanya kenapa saya masukkan Saulo (Mineiro) agak lewat dalam perlawanan itu, sebenarnya dia baru sahaja pulih daripada kecederaan yang dialami Jun lalu dan saya beri dia beraksi dalam tempoh 20 hingga 30 minit permainan dan mungkin akan kembali sepenuhnya pada aksi seterusnya,” ujar Slutkskiy.