KUALA LUMPUR: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Mohd Daud Bakar akhirnya tampil bersuara apabila mempersoalkan kewujudan pasukan Kedah FA yang turut bertanding dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Jelas Daud, beliau hairan bagaimana pasukan Kedah FA yang ditubuhkan untuk bertanding dalam liga yang sama dengan KDA FC sedangkan kelabnya muncul daripada kantung yang sama serta menyambung legasi Kedah FA sebelum diswastakan.
“Saya juga maklum sebelum ini bahawa hasrat Presiden KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) merangkap Menteri Besar Kedah yang tidak mahu lagi wang negeri digunakan untuk tajaan bola sepak sebaliknya perlu ditumpukan kepada pembangunan negeri dan membantu rakyat Kedah yang miskin.
“Saya tidak pasti apakah sebab dan alasan kepada perubahan dasar ini apabila pasukan Kedah FA 2025-2026 pula ditaja oleh beberapa syarikat milik negeri,” katanya di laman sosial KDA FC.
Menurutnya lagi, langkah menubuhkan sebuah lagi pasukan sebenarnya merugikan negeri Kedah terutamanya daripada aspek kewangan.
“Saya amat menghargai komitmen KFA untuk terus membantu melangsaikan hutang-hutang warisan di bawah KDA FC (bayaran KWSP yang tertunggak).
“Tetapi tidakkah keputusan menubuhkan satu lagi pasukan yang bersaing sesama sendiri merugikan negeri Kedah dan menyebabkan lebih banyak kos perbelanjaan terpaksa dikeluarkan kerajaan negeri?.
“Malangnya, saya juga tidak pernah diajak duduk semeja berbincang berkaitan perkara ini dan sekiranya dipanggil, mungkin saya boleh memberi saranan saya untuk kebaikan bersama demi rakyat Kedah dan pengurusan kos yang lebih jimat atas semangat sama-sama tolong-menolong untuk pasukan negeri Kedah,” katanya.
Terdahulu, KFA mengumumkan penubuhan sebuah lagi pasukan dari negeri Jelapang Padi itu yang akan bersaing dalam Liga A1 yang turut diwakili KDA FC yang sebelum ini diturunkan pangkat daripada Liga Super kerana tidak melepasi syarat pelesenan kelab profesional.