Kemenangan ke atas pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie menjadi suntikan besar buat Leong Jun Hao menjelang saingan individu badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai esok.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen percaya tahap keyakinan pemain itu kini berada pada tahap tertinggi selepas mempamerkan semangat juang luar biasa ketika membantu Malaysia dalam acara berpasukan lelaki, kelmarin.
Jun Hao mencipta kejutan apabila bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan Jonatan yang juga juara Seluruh England 2024 dengan kemenangan 20-22, 21-12, 21-17 sekali gus menyumbang mata pertama buat Malaysia.
Jonassen berkata, kemenangan itu seharusnya memberi kelebihan dari segi mental kepada Jun Hao, namun pemain ranking ke-33 itu perlu kekal fokus dan mengharungi cabaran satu demi satu dalam saingan individu.
“Langkah demi langkah adalah cara terbaik untuk bergerak ke hadapan. Kita lihat apa yang undian berikan dan mulakan proses selepas itu, tetapi kemenangan semalam sepatutnya meningkatkan keyakinannya.
“Untuk menjadi pemain terbaik, anda perlu sanggup berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan kerana mentaliti adalah perkara penting,” katanya.
Jurulatih kelahiran Denmark itu turut memuji karakter yang ditunjukkan Jun Hao ketika berdepan Jonatan, sambil menyifatkan pemain negara itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan.
“Jun Hao menunjukkan semangat juang sebenar dalam persembahannya yang membolehkannya memenangi perlawanan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Jonassen mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan dalam skuad perseorangan negara selepas beberapa peluang ketika aksi berpasukan gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kami masih banyak kerja perlu dilakukan secara individu dengan setiap pemain perseorangan, terutama dalam situasi tertentu yang tiada penyelesaian terus untuk mendapatkan mata atau kelebihan jelas dalam rali,” katanya.
Selain Jun Hao, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki turut digalas Justin Hoh.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara perseorangan lelaki Sukan Asia adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei dengan gangsa pada 2014 di Incheon.
Malaysia kempunan emas perseorangan lelaki Sukan Asia sudah lebih lima dekad sejak mendiang Datuk Punch Gunalan memenanginya pada 1970 di Bangkok.
Percubaan terbaik dimiliki skuad negara hadir menerusi Chong Wei ketika edisi 2010 di Guangzhou, namun tewas kepada seteru utamanya, Lin Dan dari China dalam aksi final.