sukan

Khai Xing-Aaron ‘smash’ Rian-Rahmat

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai terus menyerlahkan potensi dimiliki mereka apabila menewaskan gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland di Basel, awal pagi tadi.

Pasangan ranking ke-27 dunia itu mencatat kemenangan 21-16, 29-27 ke atas Rian-Rahmat yang berada di ranking ke-34 dunia dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung sengit, terutama pada set kedua sebelum memastikan tempat ke pusingan seterusnya.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan kemampuan bekas juara remaja dunia berkenaan yang sebelum ini mencuri tumpuan pada Seluruh England minggu lalu apabila mengejutkan beregu nombor empat dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pusingan pertama.

Walaupun gandingan Rian-Rahmat baru dibentuk kira-kira enam bulan lalu, mereka sudah membuktikan kemampuan sebagai lawan berbahaya buat pasangan Malaysia.

Malah, mereka pernah menewaskan beregu nombor dua dunia negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada kejohanan sulung mereka di Terbuka Denmark tahun lalu selain menyingkirkan pasangan nombor tujuh dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan kedua Seluruh England minggu lalu.

Rian sendiri sebelum ini pernah membentuk gandingan nombor satu dunia bersama Fajar Alfian dengan pasangan itu merangkul gelaran Seluruh England sebanyak dua kali.

Aaron-Khai Xing bagaimanapun bakal berdepan ujian lebih getir di pusingan kedua apabila dijadual menentang satu lagi beregu Indonesia yang juga pilihan ketiga kejohanan, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang kini menghuni ranking ke-18 dunia.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut melangkah ke pusingan kedua selepas tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-14.

Pasangan negara itu dijadual bertemu pemenang pertemuan antara gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dan pasangan Jerman, Bjorn Geiss-Jones Ralfy Jansen bagi merebut tempat ke suku akhir.

Dalam saingan beregu wanita, pasangan negara yang menghuni ranking ke-25 dunia, Carmen Ting-Ong Xin Yee terpaksa akur tewas di tangan beregu Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 15-21, 9-21 di pusingan pertama.