sukan

Khalid tanya FAM mana ‘bahagian’ KL City?

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya memikirkan cara untuk membantu masalah kewangan yang dihadapi pasukan Liga Malaysia (Liga M), bukan sekadar ‘mengarah’ dan kemudiannya menghukum pasukan.

Gesaan itu ditimbulkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad yang turut mempersoalkan ‘bahagian’ untuk pasukan KL City FC selepas FAM menerima RM5 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“MFL dan FAM kena fikir cara untuk bantu kerana bukan hanya KL City FC tetapi hampir semua pasukan bola sepak lain hadapi masalah kewangan. Mereka kena bincang bersama cari jalan penyelesaian, bukan beri nasihat bayar gaji dan kemudian ambil tindakan.

“Saya rasa sudah tiba masanya FAM dan MFL ada sedikit rombakan dan lebih ketelusan untuk mengutamakan industri bola sepak. Penyelesaian kepada masalah itu sampai sekarang tidak dibincang dan dicari.

“Kalau keadaan ini berterusan, mungkin liga kita akan disenaraihitamkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana ada sahaja pasukan tidak mampu bayar gaji pada setiap tahun,” kata Khalid.

Dalam masa sama, dia juga kecewa apabila KL City FC dipandang sepi sedangkan mereka ‘membekalkan’ enam pemain untuk skuad Harimau Malaya yang beraksi di Piala Asia dan membantu mereka mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 pada kejohanan di Qatar, Januari lalu.

“Kita juga kecewa kerana kita sebagai pembekal pemain kepada skuad kebangsaan, apabila FAM dapat RM5 juta, kita harapkan dapatlah sedikit tetapi langsung tak dapat walaupun satu sen.

“Ini kali kedua saya menyebut perkara ini dan sepatutnya ia sudah jadi signal kerana Romel Morales yang jaringkan gol dan Paulo Josue yang membuat bantuan gol, kedua-duanya adalah pemain KL City FC.

sumber:-BH

“Sebab itulah kita agak kecewa kerana dalam keadaan ketika itu, kita memang sangat tertekan kerana tidak dapat duit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mana-mana pihak sehingga gaji tertunggak,” kata Khalid.