sukan

Kim Pan-gon dikaitkan dengan juara Piala Malaysia 33 kali

KUALA LUMPUR: Nama bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon sekali lagi dikaitkan dengan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC.

Pan-gon sebelum ini sudah dikaitkan dengan Selangor dan kali ini nama pengendali dari Korea Selatan itu kembali menjadi tumpuan apabila terdapat spekulasi yang mendakwa dia bakal menyertai Gergasi Merah.

Malah, terdapat laporan daripada portal yang mendakwa Pan-gon dikatakan bakal membimbing Selangor dengan pengumuman rasmi dijangka dilakukan dalam masa terdekat selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum ada pengumuman atau pengesahan rasmi daripada Selangor FC atau Pan-gon sendiri.

Sementara itu, pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi BH Sukan enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu.

Beliau menjelaskan tumpuan utama pasukan sekarang ini adalah melakukan persediaan bagi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Selangor ketika ini dibimbing Christophe Gamel yang diberikan tanggungjawab sebagai pengendali interim selepas kelab itu merehatkan Katsuhito Kinoshi pada September lalu.

Nama Pan-gon bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dengan dia pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2022 hingga 2024.

Jurulatih berusia 56 tahun itu meninggalkan Harimau Malaya pada Julai 2024 dan menyertai Ulsan HD, namun dia kemudian berpisah dengan kelab Korea Selatan itu pada Ogos lalu.