KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui Harimau Malaya berdepan detik sukar sebelum aksi menentang Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.
Ia susulan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum bermula dan sebahagian besar pemain tidak mendapat ‘match fitness’ dalam aksi kompetitif selepas kembali dari tugasan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.
Selain kebimbangan mengenai keadaan pemain, Harimau Malaya juga berdepan beberapa cabaran besar termasuk reputasi Oman yang berada di ranking 80 dunia, aksi di tempat lawan yang berbeza dari segi masa berbanding Malaysia dan perlawanan berlangsung pada Ramadan.
Pan Gon bagaimanapun berterima kasih kepada kelab kerana sudi melepaskan pemain lebih awal untuk menyertai latihan pusat walaupun kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi aksi kelayakan itu hanya bermula pada 18 hingga 26 Mac depan.
“Situasi tidak bagus, seperti kita tahu liga berhenti sejak Disember dan (musim baharu) akan bermula Mei. Jadi ia membuatkan kami dalam kesukaran, pemain harus bermain, setiap minggu harus beraksi.
“Kami memiliki perlawanan yang penting pada Mac (bulan ini) iaitu kelayakan Piala Dunia, tetapi kita tiada saingan liga. Selepas Piala Asia hingga sekarang, tiada perlawanan dan beberapa kelab belum mula lagi pra musim.
“Jadi apa maksudnya? Secara fizikal dan tahap kecergasan dalam perlawanan kita kurang, aksi tempat lawan dengan masa berbeza dan berlangsung pada Ramadan. Kami sukar untuk menemui perkara positif sekarang, tetapi ini situasi yang kami perlu hadapi,” katanya.
Berdasarkan situasi yang terpaksa dialami skuad negara dan cabaran besar menentang Oman, ia memberi bayangan bahawa penyokong Harimau Malaya tidak boleh meletakkan harapan terlampau tinggi.
Selain itu, Pan Gon menjelaskan barisan kejurulatihan akan berusaha sebaik mungkin untuk membuat perancangan dalam usaha memastikan keputusan positif dapat diraih Harimau Malaya.
“Apabila melawan pasukan kelompok 80 dunia, ia tahap berbeza yang perlu dihadapi dan ini kejohanan yang menarik untuk bersaing dengan pasukan 80 dunia.
“Kami perlukan motivasi, tetapi selain itu kami juga perlu bijak. Jika kita terlalu menekan pemain, ia boleh mendatangkan kecederaan dan kalau tidak terlalu menekan, kita akan kurang dari segi kecergasan.
sumber:-BH
“Jadi, kami perlu bijak dan perancangan terbaik diperlukan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi dua perlawanan itu,” katanya.