sukan

Kim Swee gusar dengan prestasi terkini Terengganu FC

KOTA KINABALU: Sabah FC mengambil sikap berhati-hati berdepan Terengganu FC pada aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, esok.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukan tidak akan mengambil mudah perlawanan berkenaan tambahan pula ia berlangsung di laman sendiri pasukan lawan.

“Kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tahu pasukan Terengganu FC mempunyai rekod cukup baik, terutamanya beraksi di tempat sendiri.

“Bukan itu saja, Terengganu kini juga bertambah baik dengan adanya beberapa pemain baharu terutamanya pemain tempatan seperti Safawi Rashid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan.

“Mereka adalah pemain berpengalaman dan kita harus berwaspada terhadap semua pemain yang bakal diturunkan Terengganu FC,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi aksi pertama suku akhir Piala FA, esok.

Kim Swee berkata, Sabah FC bertekad untuk memburu bekalan gol selesa menjelang aksi kedua Piala FA di laman sendiri pada 6 Julai nanti.

“Apa juga keputusan dalam pusingan pertama, yang penting kita harus kembali dengan satu keputusan yang cukup positif dan kita kembali ke sini dengan semangat positif.

sumber:-BH

“Sebaliknya, apa juga keputusan pada perlawanan kedua yang berlaku di sini nanti, ia akan menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya. Oleh itu kita memerlukan kelebihan bekalan gol pada perlawanan di sini nanti,” katanya.