sukan

Kim Swee puas hati prestasi anak buahnya

KOTA KINABALU: Meskipun tewas 1-3, pemain Sabah FC menunjukkan corak permainan yang positif ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata permainan yang baik itu ditunjukkan anak buahnya walaupun tanpa beberapa tonggak penting pasukan.

Katanya, kekalahan itu juga berpunca daripada kelekaan pasukan pada babak pertama dan sepakan penalti pasukan lawan pada minit kecederaan babak kedua.

“Keputusan tentu mengecewakan, namun tanpa pemain utama, kita menunjukkan satu corak permainan seperti yang kita inginkan. Dua gol pada separuh masa pertama adalah akibat kelekaan kita.

“Jadi ini menyukarkan, namun pada separuh masa kedua, kita membuktikan mampu mendapatkan gol dan bersaing sebelum sepakan penalti yang amat mengecewakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, gawang Sabah dibolosi 2-0 pada separuh masa pertama, kedua-duanya dijaringkan penyerang JDT, Romel Oswaldo Morales pada minit ke-20 dan ke-43.

Sabah kemudian merapatkan kedudukan melalui sepakan penalti Gabriel Peres pada minit ke-51 namun Bergson da Silva memastikan kemenangan pelawat dengan gol ketiga pada minit kecederaan.

Kim Swee mengakui ketiadaan dua penyerang, Darren Lok dan Saddil Ramdani yang tidak diturunkan kerana masih mengalami kecederaan mengganggu sistem permainan pasukan.

“Namun, ia juga memberi peluang untuk pemain lain terutama yang jarang diturunkan seperti Azhad Harraz Arman dan Harith Naem Jaineh untuk membuktikan kebolehan.

sumber:-BH

“Kita boleh nampak mereka mencuba sedaya upaya dan saya percaya mereka memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri, namun mereka memberikan yang terbaik,” katanya.