sukan

‘King Kazu’ beraksi pada usia 58 tahun

TOKYO: Penyerang Jepun yang memegang pelbagai rekod, Kazuyoshi Miura mencatat sejarah sekali lagi apabila beraksi dalam saingan divisyen keempat Jepun pada usia 58 tahun – musim ke-40 buatnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Miura, yang mesra digelar ‘King Kazu’ adalah pemain profesional tertua di Jepun dan hampir pasti juga di seluruh dunia.

Dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-82 ketika mewakili Atletico Suzuka dalam aksi Liga Bolasepak Jepun semalam dan membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1 ke atas YSCC Yokohama.

Miura, yang merupakan antara pemain bola sepak paling terkenal di Asia pada era 1990-an, tidak menjaringkan gol pada penampilan itu tetapi tetap berpuas hati dengan sumbangannya walaupun hanya sempat bermain beberapa minit, pada usia 58 tahun dan 109 hari.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak membantu saya sampai ke tahap ini. Kini saya mahu tingkatkan prestasi saya lagi,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

Miura kembali beraksi di Jepun tahun lalu selepas dua musim dipinjamkan ke kelab divisyen dua Portugal, Oliveirense, yang mana dia membuat sembilan penampilan daripada kelab asalnya, Yokohama FC.

Dia memulakan karier profesionalnya pada tahun 1986 bersama kelab Brazil, Santos dan pernah beraksi di Itali, Croatia serta Australia.

Miura turut membantu menaikkan profil bola sepak di Jepun ketika liga profesional J-League dilancarkan pada 1993.

Dia melakukan penampilan sulung antarabangsa bersama Jepun pada 1990 dan menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan, namun tidak tersenarai dalam skuad Piala Dunia pertama Jepun pada tahun 1998 – satu keputusan yang masih dikesali hingga kini. – AFP