KUALA LUMPUR: Selangor bakal mengharungi satu lagi aksi berprofil tinggi apabila berdepan pasukan jiran, Kuala Lumpur (KL) City pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.
Pertembungan itu berlangsung tiga hari selepas Gergasi Merah berdepan detik mengecewakan tewas 0-2 kepada kelab Indonesia, Persib Bandung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Khamis lalu.
Berdepan KL City yang berada pada prestasi terbaik dalam liga musim ini, ia sudah pasti memberi cabaran besar buat pengendali Selangor, Christophe Gamel untuk memastikan pasukannya bangkit terutama beraksi di laman sendiri.
Seandainya berjaya meraih kemenangan, Selangor akan menjadi pasukan pertama yang menewaskan KL City dalam Liga Super selepas skuad kendalian Risto Vidakovic belum tewas dalam enam aksi liga mereka.
Bagaimanapun ia bukanlah tugas mudah buat anak buah Gamel kerana berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan keputusan seimbang diraih kedua-dua pasukan.
Meskipun kapten Selangor, Faisal Halim selepas kekalahan dengan Persib Bandung menegaskan pasukannya akan bangkit, namun KL City juga pasti enggan rekod tanpa kalah mereka dicalar Gergasi Merah.
Tonggak KL City, Syamer Kutty Abba menegaskan betapa skuad City Boys mengidamkan tiga mata walaupun sedar kekuatan yang dimiliki Selangor.
“Aksi tetangga Lembah Klang sangat penting untuk menunjukkan kepada penyokong bahawa KL City mampu memberikan saingan kepada Selangor FC serta mengekalkan kedudukan dua teratas Liga Super.
“Walaupun kami sedar Selangor FC pasukan yang kuat, kami tetap bertekad untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Selangor berdepan prestasi turun naik musim ini dengan naib juara Liga Super musim lalu itu ketika ini berada di kedudukan keenam liga dengan mengumpul sembilan mata selepas enam perlawanan.
KL City tampak lebih menyerlah apabila merekodkan lima kemenangan dan satu seri untuk menghuni tangga kedua dengan mengumpul 16 mata.