sukan

Kinoshi belum puas hati prestasi Selangor

KUALA LUMPUR: Permulaan goyah jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi jelas sudah menjadi perkara lampau dengan Selangor FC (SFC) kini sedang menikmati kemuncak prestasi selepas belum lagi tewas dalam sembilan perlawanan terakhir mereka.

Dalam sembilan perlawanan itu, mereka menang lapan daripadanya dan hanya seri sekali iaitu ketika terikat 1-1 menentang Penang FC (PFC) pada aksi Liga Super dengan jaringan penyamaan Penang FC diperolehi menerusi sepakan penalti pada minit akhir.

Malah, mereka juga berpeluang menamatkan penantian sedekad untuk meraih trofi selepas layak ke final Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan akan bertemu juara bertahan, PDRM FC.

Bagaimanapun, di sebalik aksi cemerlang ditunjukkan anak buahnya, Kinoshi belum cukup berpuas hati sekali gus menuntut anak buahnya dapat terus menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam perlawanan seterusnya.

“Dalam bola sepak, sentiasa ada turun dan naik dan kita sentiasa berhadapan perlawanan yang sukar. Tetapi kita bernasib baik kerana belum lagi tewas dalam sembilan perlawanan.

“Perkembangan ini memberikan keyakinan kepada kita tetapi kita tidak boleh terlalu yakin. Kita perlu sentiasa menyasarkan untuk menjadi pasukan yang lebih baik kerana sasaran lebih baik daripada terlebih yakin.

“Kita tidak bolos dalam situasi bola mati ataupun kesilapan penjaga gol, jadi pertahanan kita begitu stabil. Cuma kita perlu terus maju ke depan.

sumber:-BH

“Saya gembira dengan ini (sembilan perlawanan tanpa kalah) tetapi ini belum cukup bagus lagi,” katanya.