KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mendedahkan faktor Gergasi Merah mengikat pemain import dari Thailand, Picha Autra bagi menghadapi saingan musim 2025-2026.
Pengendali dari Jepun itu menjelaskan, Autra memiliki sikap tidak mudah mengalah dan gaya permainan yang sesuai dengan apa yang ditekankan naib juara Liga Super musim lalu itu.
“Sikap profesional dan gaya permainan yang dinamik di bahagian tengah yang dipertontonkan selama ini, dia mencerminkan semangat tidak mudah mengalah yang Selangor FC sering tekankan.
“Saya berharap dengan adanya Autra, kita akan terus bersama-sama sebagai sebuah pasukan untuk berikan yang terbaik demi mengejar sasaran pasukan,” kata Kinoshi.
Semalam, Selangor mengumumkan Autra sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) serta Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN musim 2025/26.
Memulakan kariernya di Liga Thailand ketika usia 18 tahun, Autra membuat penampilan sulung seniornya bersama Nakhon Nayok dengan beraksi dalam 19 perlawanan.
Dia terus mencipta nama bersama Samut Prakan City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Pattaya United FC selepas berjaya membuat 114 penampilan dengan menjaringkan 19 gol serta 13 bantuan gol dalam divisyen satu Thailand bagi musim 2015 hingga 2020.
Prestasi cemerlang pemain berusia 29 tahun itu bersama Samut Prakan City FC membantu Autra mendapat panggilan menyertai skuad senior Thailand buat kali pertama pada tahun 2019.
Dia kemudian menyertai Muangthong United dengan membuat 159 penampilan bersama kelab itu dan dua daripadanya ketika perlawanan peringkat kumpulan ACL2 musim lalu menentang Selangor FC.
Selain rekod peribadi bersama kelab yang baik, Autra juga pernah memenangi Piala AFF 2020 bersama skuad senior Thailand dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama pasukan bawah 23 tahun.
Autra berharap mendapat sokongan penuh daripada seluruh penyokong Gergasi Merah yang mana Selangor menjadi kelab luar negara pertama yang disertainya.
sumber:- BH
“Saya dengan rendah diri berharap penyokong Gergasi Merah akan berikan sokongan penuh dalam perjalanan baharu yang mana pertama kali saya di Selangor FC, kelab luar negara pertama saya sertai yang pastinya akan penuh dengan cabaran,” katanya.