KUALA LUMPUR: “Saya sangat tidak gembira.” Itu luahan tegas jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi selepas pasukannya sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dalam aksi persahabatan menentang Asia Warriors FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang semalam.
Kinoshi jelas kecewa dengan corak permainan longlai yang dipamerkan anak buahnya meskipun mereka hanya berhadapan dengan barisan pemain ‘pencen’.
Asia Warriors hanya membariskan beberapa bintang pencen bola sepak Asia termasuk bekas tonggak Singapura, Baihakki Khaizan di posisi pertahanan serta Keisuke Honda selaku ketua pasukan.
Keputusan terbabit jelas sekali mengundang pelbagai reaksi di kalangan penyokong Selangor FC yang mempersoalkan kemampuan pasukan terbabit dalam menghadapi saingan Liga Super dan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya berbaki tidak sampai dua minggu sebelum sepak mula.
“Perlawanan hari ini (semalam) langsung tidak cukup bagus. Kita mesti jalani latihan yang lebih kuat dan lebih serius. Saya tak gembira langsung,” kata Kinoshi dalam nada kesal selepas tamat perlawanan.
Pengendali dari Jepun itu turut menjelaskan bahawa banyak perubahan taktikal dan percubaan menggunakan keseluruhan skuad memberi kesan terhadap kelancaran permainan.
“Kita dalam situasi yang berbeza daripada perlawanan kompetitif. Saya mahu cuba semua pemain, jadi keputusan agak longgar. Tapi itu bukan alasan untuk main sambil lewa,” katanya.
Kinoshi mengakui skuad Selangor masih belum berada di tahap optimum dan memerlukan peningkatan segera terutama dalam aspek serangan dan semangat juang di atas padang.
“Kita kena lebih berazam, jangan berjalan saja. Kita perlukan lebih banyak larian dan penembusan di kawasan lawan. Kalau tidak, kita takkan ke mana,” katanya.
Dengan Liga Super 2025 hanya berbaki tidak sampai dua minggu, Kinoshi mahu anak buahnya menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk bangkit memperkemas segala kekurangan.
“Kita tak ada masa nak ulang kesilapan. Tak kira cukup masa atau tidak, kita mesti siap sedia. Tak boleh tunggu lagi,” katanya.