sukan

Kinoshi mahu Selangor lebih garang musim depan

KUALA LUMPUR: Sekalipun bergelar naib juara Liga Super dan merangkul Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) namun Selangor FC (SFC) tidak boleh selesa dengan apa yang sudah ditunjukkan sepanjang musim ini.

Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi menjelaskan mereka perlu tampil sebagai pasukan yang lebih baik dan menunjukkan perkembangan yang lebih mantap pada musim baharu dijangka bermula kira-kira empat bulan lagi.

Jelas pengendali dari Jepun itu, dia sudah pun memiliki perancangan untuk mengharungi musim depan dan pengalaman yang diharungi banyak mengajarnya mengenai cara mengendalikan tekanan.

“Saya sukakan tekanan di pasukan ini dan saya juga ada perancangan untuk musim depan. Saya ada beberapa pandangan untuk SFC terus maju ke depan dan menjadi lebih baik daripada sekarang.

“Tetapi ini juga perlu dibantu dengan komitmen 100 peratus daripada pemain tetapi kita memang ada rancangan untuk mendapatkan pemain secara domestik ataupun antarabangsa.

“Apa yang penting adalah kita kekal dan bersatu sebagai satu pasukan. Bukan sahaja pemain dan barisan kejurulatihan tetapi juga penyokong untuk musim baharu nanti,” kata Kinoshi.

Sebagai rekod, ‘The Red Giants’ menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara buat dua musim berturut-turut selain turut mendapat tiket ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.

Namun, mereka ketinggalan 18 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bergelar juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.

Selain itu, SFC juga muncul naib juara Piala FA musim ini selepas dibelasah JDT 6-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ogos lalu.

Perjuangan mereka dalam kempen Piala Malaysia pada musim ini juga berakhir setakat di pusingan 16 apabila tumbang 3-2 secara agregat di tangan finalis, Sri Pahang FC (SPFC).

sumber:- BH

Bagi saingan di ACL2 pula, SFC yang satu ketika berada pada landasan tepat untuk mara ke pusingan kalah mati terpaksa akur tersingkir di peringkat kumpulan apabila menghuni tangga ketiga Kumpulan H.