sukan

Kinoshi masih belum puas hati jentera serangan Red Giant

KUALA LUMPUR: Selangor FC perlu segera mempertajamkan jentera serangan selepas deretan peluang disia-siakan dalam aksi kedua Liga Super menentang Brunei DPMM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, malam tadi.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants menang 3-0 untuk meraih tiga mata pertama musim ini selepas tumbang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan merebut Piala Sumbangsih, Jumaat lalu.

Menurut pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi, beliau berpuas hati dengan keputusan yang diraih namun jurulatih kelahiran Jepun itu mahu anak buahnya meningkatkan prestasi khususnya di bahagian penyerang.

Katanya, beliau enggan menyalahkan mana-mana pemain namun Selangor FC perlu memperbaiki prestasi di mana saingan musim ini dijangka lebih sengit dan sukar.

“Kemenangan 3-0 semenagnya keputusan yang baik tapi seperti saya katakan sebelum ini, kami miliki banyak peluang terbuka jadi kami perlu lipat gandakan dalam latihan.

“Saya tidak mahu menyalahkan pemain tapi kami perlu berlatih dengan baik dan selesaikannya.

“Kadang-kala peluang hanya datang sekali dalam perlawanan. Jaringan akan mengubah hala tuju pasukan dan kami perlu fikirkannya,” katanya selepas aksi itu.

Dalam perlawanan itu, tiga gol tuan rumah diraih menerusi dua jaringan pemain import Thailand, Kevin Deeromram di minit ke lima dan 36 sebelum penyerang Brazil, Chrigor Moraes menambah gol ketiga di minit 67.

Mengulas mengenai sumbangan besar Deeromram, Kinoshi tonggak pertahanan kiri itu beraksi cukup baik, malah berjaya meledak dua gol dalam aksi itu.

“Saya berpuas hati dengan prestasinya (Deeromram), tapi saya tanya kepada dia selepas perlawanan. Berapa gol yang dia raih, katanya dua…dan saya tanya berapa bantuan gol, dia kata tiada. Tapi itu tidak mengapa, saya harap dia akan terus lakukannya (membantu pasukan),” katanya.

sumber:- HM

Selepas ini, Selangor FC yang juga naib juara Liga super musim lalu itu akan berdepan pasukan Malaysian University Football Team (MUFT) dalam aksi 16 terbaik Piala FA, Sabtu ini.