SEREMBAN: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi akui lega dengan kejayaan pasukan itu membenam Negeri Sembilan FC (NSFC), 4-0, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut apabila tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Piala Malaysia 2024, pengendali berasal dari Jepun itu yang mula mengambil alih jawatan berkenaan 23 November lalu ternyata gembira dengan persembahan positif dipamerkan anak buahnya.
“Saya sangat berpuas hati dengan permainan dan mereka memperagakan watak sebenar pasukan dengan menguasai sebahagian besar perlawanan.
“Walaupun kami tidak dapat menurunkan kesemua pemain terbaik kerana masalah kecergasan, tapi pemain yang ada menunjukkan semangat tinggi untuk menang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Skuad Gergasi Merah dilihat tampil dengan persembahan agresif apabila mudah menembusi benteng Negeri Sembilan menerusi jaringan Aliff Haiqal Lukman Hakim pada minit ke-15 disusuli gol Alvin Mateus Fortes (minit ke-39), Quentin Cheng Jiun (minit ke-47) dan Jose Orozco pada minit ke-60.
Mengulas lanjut, Kinoshi juga akui pasukan Selangor perlu meningkatkan lagi tahap prestasi untuk memastikan mereka dapat mengekalkan pencapaian dan kedudukan dalam liga serta mempertahankan reputasi yang pernah dicapai.
“Saya bagi tahu mereka, jika ingin menjadi pemain yang bagus, mereka kena nilai semula kelemahan yang ada dan berusaha memperbaikinya dengan terjemahkan persembahan terbaik seperti mana dalam hasil latihan.
“Saya berharap kemenangan malam ini bakal memberikan motivasi yang tinggi untuk pasukan meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan akan datang sehingga ke penghujung saingan liga,” katanya.
sumber:-BH
Beliau juga ingin melihat kebangkitan pasukan itu dapat diteruskan menjelang pertembungan dengan Kelantan Darul Naim FC pada aksi Piala Cabaran 2024, di tempat lawan, Khamis ini.