sukan

Kinoshi tak akan ‘peram’ pemain muda

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) tidak akan ‘memeram’ pemain mudanya dan akan terus membangunkan mereka dengan memberikan minit permainan untuk beraksi secara kompetitif dalam kancah bola sepak tempatan.

Pengendalinya, Katsuhito Kinoshi berkata beliau bersedia untuk mengambil pendekatan untuk menggabungkan kekuatan pemain senior dan juga pemain muda bagi membentuk gandingan yang mantap apatah lagi mereka berdepan jadual yang padat.

“Saya perlu memberikan peluang kepada pemain muda untuk beraksi pada malam ini (semalam) kerana kita hanya ada 20 pemain dalam skuad. Jadi kita gabungkan semua pemain.

“Apabila kita mendapat keputusan seperti ini, inilah peluang kepada pemain muda dan saya harapkan kita dapat menurunkan muka yang berbeza dalam pasukan kedua kita bagi aksi seterusnya.

“Mereka adalah pemain jadi mereka perlu bermain di atas padang, tidak hanya bermain ketika sesi latihan. Jadi sebab itulah saya memberikan peluang kepada pemain muda,” katanya.

Terdahulu, skuad The Red Giants selangkah ke separuh akhir Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 5-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Turun selaku pasukan di tempat lawan, mereka hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan menerusi Ronnie Fernandez sebelum penyerang Chile itu menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-73.

Mukhairi Ajmal Mahadi turut menjaringkan dua gol (m-47 dan 48) disusuli Quentin Cheng (m-80) dengan gol sagu hati KDN FC disumbangkan Mohd Arip Amiruddin (m-70).

Dalam perkembangan sama, Kinoshi turut gembira selepas Fernandez menamatkan kemarau golnya sejak kali terakhir menemui jaringan ketika menentang Terengganu FC (TFC) pada 28 September lalu.

“Bola sepak adalah permainan berpasukan, jadi saya tidak kisah sesiapa pun yang menjaringkan gol. Tetapi dia (Ronnie) adalah penyerang dan untuk itu, dia perlu menjaringkan gol.

sumber:-BH

“Dia menjaringkan gol pada perlawanan ini dan saya berpuas hati dengan persembahannya. Bukan Ronnie sahaja tetapi semua pemain termasuklah yang berada di bangku simpanan,” katanya.