KANGAR: Perlis United FC (PUFC) sedia memenuhi empat syarat tambahan yang diminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam memastikan impian kelab berpangkalan di Kangar itu dapat mengisi slot ke-14 Liga Super 2024-2025.
Presidennya, Shukri Othman mengesahkan pihaknya sudah menerima secara rasmi surat keputusan permohonan kelabnya untuk menyertai saingan Liga Super musim ini.
“Ya, kita sudah pun menerima surat berkenaan namun keputusan itu lebih menjurus kepada penetapan syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa yang bersyarat sebelum diterima bermain dalam Liga Super musim ini.
“Namun, kita kini bersedia memenuhi syarat tambahan MFL itu, antaranya melunaskan gaji pemain PUFC yang direkodkan tertunggak sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya komited akan memastikan keperluan itu dipenuhi dan segala dokumentasi akan dihantar dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply dalam satu kenyataan di Facebooknya menyatakan bahawa pihaknya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MFL kerana memberi peluang kepada PUFC untuk bersaing dalam Liga Super 2024.
“Kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana berpeluang menyertai peringkat tertinggi bola sepak Malaysia. Pencapaian ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dedikasi, dan kerja keras seluruh pengurusan pasukan, jurulatih, pemain dan kakitangan kelab.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kami, penyokong setia, dan semua orang yang telah menyumbang dalam perjalanan kami ke arah Liga Super. Sokongan berterusan anda telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami,” katanya.
Terdahulu, teka-teki mengenai pasukan Liga M3 yang akan dinaikkan pangkat ke Liga Super musim 2024-25 terlerai selepas Perlis United FC (PUFC) menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 sekali gus menggantikan Kelantan FC.
Namun, MFL menjelaskan pasukan itu diarah untuk memenuhi syarat tambahan sebelum mendapat lesen luar biasa bersyarat bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim ini.