KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mencadangkan nama Datuk Ong Kim Swee sebagai calon untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang baharu.
Menurut Hannah, cadangan itu kini sedang diteliti oleh pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Jawatankuasa Teknikal memang mencadangkan Datuk Ong. Isu teknikal semuanya diputuskan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), manakala MSN akan memantau keseluruhan pelaksanaan.
“Saya akan melihat perkara ini sebelum kita perakukan cadangan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kursus Latihan Asas Sepak Takraw Perpaduan Kaum (KLAS 2025) di sini, hari ini.
Hannah menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif kerana ia memberi ruang lebih luas kepada jurulatih tempatan untuk kembali memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara.
“Saya lihat ia satu perkara yang baik kerana kita mahu lebih ramai jurulatih tempatan diberi peluang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hannah menjelaskan, pengurusan NFDP ketika ini masih berada di bawah tanggungjawab MSN selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan keputusan menyerahkan program berkenaan kepada FAM berikutan kemelut yang melanda badan induk itu ketika ini.
“Pada mulanya kita mahu serah kepada FAM, tetapi atas krisis yang sedang berlaku, kita tarik ‘handbrake’ dan MSN masih pegang sehingga kepimpinan FAM stabil.
“Namun, bagi bahagian teknikal termasuk hal berkaitan jurulatih, ia memang ditentukan oleh FAM dan Jawatankuasa Teknikal,” katanya.
Sekiranya dilantik, Kim Swee dijangka mengambil alih tugas daripada Oscar Francisco Gonzalez Diaz yang mengetuai peranan Pengarah Teknikal AMD sejak Mei tahun lalu.
Kim Swee, 55, kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas rasmi meninggalkan kelab Liga Indonesia, Persik Kediri.
Beliau dianggap calon paling tepat untuk memulihkan kembali kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi berdasarkan rekod kecemerlangannya membangunkan skuad Harimau Muda, termasuk menghadiahkan pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta.