KUALA LUMPUR: Kejuaraan Kelab ASEAN 2024 (ACC) 2024 yang bakal disertai KL City FC jelas memberi satu cabaran baharu buat pasukan itu yang kini perlu memberikan tumpuan bukan sahaja kepada saingan domestik malah pertandingan kelab serantau.
Situasi itu diakui kaptennya, Paulo Josue yang menyifatkan ACC 2024 sebagai satu pertandingan bertahap tinggi apatah lagi menampilkan penyertaan pasukan yang terbaik dari rantau ASEAN.
“Pasukan yang bertanding memperagakan kualiti bola sepak yang baik jadi kita akan tetap memberi fokus untuk memberikan saingan dalam ACC pada musim ini. Bagus rasanya dapat menyertai kelompok pasukan yang berentap dalam ACC ini.
“Sudah tentu ini satu cabaran untuk kita kerana kita akan bertanding dalam satu lagi pertandingan pada musim ini tetapi kita perlu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang kita harungi.
“Dengan aksi di peringkat yang tinggi seperti di ACC 2024, kita perlu menunjukkan semangat juang kerana lebih banyak mata yang memandang persembahan kita di sana,” kata Josue.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac diundi dalam Kumpulan B bersama Buriram United, Cong Anh Hanoi dan Borneo FC.
Selain itu, Kaya FC dan Lion City Sailors melengkapkan dua lagi pasukan dalam Kumpulan B.
Sementara itu, satu lagi wakil negara, Terengganu FC (TFC) diundi dalam Kumpulan A bersama BG Pathum United, PSM Makassar dan juga Dong A Thanh Hoa dan dua pasukan yang memenangi perlawanan ‘play-off.
Dua slot terbabit akan diisi pemenang antara Young Elephants FC menentang PKR Svay Rieng FC dan Kasuka FC berdepan Shan United.
sumber:-BH
Sebagai rekod, setiap pasukan akan bermain secara liga sepusingan (round robin) dengan dua pasukan teratas dalam layak ke separuh akhir.