sukan

KL City masih lagi berada dalam senarai FIFA

Pelbagai persoalan terus menyelubungi KL City FC apabila nama skuad ‘The City Boys’ itu dikesan masih lagi kekal tertera dalam senarai pangkalan data sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Penyokong kini mula mempersoalkan status sebenar kelab berkenaan, memandangkan pihak pengurusan sebelum ini sudah pun membuat pengesahan rasmi bahawa mereka bebas sepenuhnya daripada sebarang kemelut isu sekatan.

Menerusi semakan terbaharu terhadap pangkalan data badan induk dunia itu, KL City sebenarnya berdepan hukuman sekatan perpindahan untuk tempoh tiga jendela perpindahan secara berturut-turut.

Keadaan itu berpunca daripada dua kes berasingan yang direkodkan oleh FIFA, di mana kes pertama dikesan mula berkuat kuasa pada 27 Januari 2026, manakala satu lagi kes kedua yang menyusul pula direkodkan bermula pada 19 Februari 2026.

Isu berkenaan nyata mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, terutamanya selepas pertembungan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan KL City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang sepatutnya berlangsung kelmarin tidak dapat dilangsungkan.

Perlawanan terbabit tidak dapat dilangsungkan selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerima pengumuman rasmi bahawa hampir separuh pemain KL City FC mengalami influenza sekali gus tidak dapat beraksi pada aksi pertama Liga Super itu.

Namun, timbul persoalan sama ada perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan kerana pelawat sebenarnya hanya memiliki 12 pemain yang didaftarkan.

Berdasarkan maklumat yang diterima selepas mesyuarat koordinasi perlawanan semalam, KL City FC tampak hanya memiliki pemain yang cukup-cukup sahaja untuk beraksi apabila hanya 12 pemain yang ada dalam senarai pemain yang boleh disahkan bermain.

Daripada senarai terbabit, ia merangkumi 10 pemain tempatan dan dua pemain import termasuk seorang penjaga gol, namun dua daripada pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan.

Sebelum ini, pengurusan KL City FC menegaskan kelab itu akhirnya bebas daripada sekatan perpindahan selepas berjaya menyelesaikan segala tunggakan membabitkan bekas pemain import dan pegawai kelab itu.

Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar mengesahkan kelab itu kini tidak lagi berdepan sebarang masalah berhubung sekatan perpindahan dan mempunyai ruang untuk membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan yang kini dibimbing legenda negara, Datuk Dollah Salleh.

Beliau berkata, penyelesaian isu berkenaan membolehkan perhatian kini dialihkan sepenuhnya kepada persiapan pasukan untuk menghadapi saingan musim 2026//27.