KUALA LUMPUR: Selepas berehat lebih dua minggu, KL City FC akan turun beraksi bagi aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 berdepan Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar, Khamis ini.
Dua pasukan itu jelas berdepan nasib berbeza apabila KL City FC di bawah bimbingan Miroslav Kuljanac merakam rekod bersih dua kemenangan daripada dua perlawanan untuk terikat enam mata bersama pendahulu, Cong An Hanoi.
Wakil Singapura itu pula masih tercari-cari rentak dalam kempen ACC 2024/25 yang menyaksikan mereka terperosok di tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.
Pertahanan skuad ‘Warga Kota’, Giancarlo Gallifuoco jelas teruja apabila dapat kembali beraksi secara kompetitif dan mengharapkan rakan sepasukannya dapat menunjukkan aksi terbaik sebagai motivasi sebelum mengharungi ‘Derbi Lembah Klang’ pada Ahad.
“Tiada perlawanan adalah sesuatu yang tidak menggembirakan tetapi kami ada aksi yang besar iaitu berdepan Lion City Sailors pada Khamis ini.
“Ini adalah perlawanan yang sedang berada dalam fikiran saya. Saya akan meletakkan sepenuh fokus dan bersedia sebaik mungkin bagi menghadapi aksi itu,” kata pertahanan kelahiran Australia itu.
Sebagai rekod, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mengesahkan slot ke separuh akhir ACC 2024/25.
Satu lagi wakil negara, Terengganu FC (TFC) ketika ini berada di tangga kelima Kumpulan A selepas sekadar menghimpun satu mata daripada dua perlawanan.
sumber:-BH
Bukan setakat imbuhan melebihi RM2.2 juta menanti juara ACC 2024/25 malah pasukan yang bertanding akan turut menerima ganjaran sekitar enam angka.