KUALA LUMPUR: Permulaan sempurna yang diraih KL City FC dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 perlu diteruskan mereka pada aksi kedua Kumpulan B menentang wakil Indonesia, Borneo FC Samarinda di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
Skuad bimbingan Miroslav Kuljanac membuka kempen ACC 2024/25 dengan langkah kanan hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Filipina, Kaya FC-Iloilo dan Kuljanac menuntut anak buahnya dapat terus mengekalkan rekod positif di laman sendiri.
Malah, pengendali dari Croatia itu mengharapkan penyokong setia skuad Warga Kota dapat membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk memberi sokongan padu kepada KL City FC yag turut membawa nama negara pada saingan rantau Asia Tenggara itu.
“Kita memulakan kempen ACC dengan baik jadi saya harap kita dapat teruskan rekod tanpa kalah itu sehingga tamat perlawanan malam esok. Saya hanya mampu mengharapkan supaya peminat dapat datang untuk memberikan sokongan.
“Kita sedang berada dalam situasi sukar ketika ini tetapi pemain tidak mahu mengalah dan terus berjuang. Jadi saya rasa pemain layak untuk terus mendapat sokongan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.
Pada masa sama, Kuljanac juga menegaskan barisan pemainnya berada dalam semangat yang tinggi dan bertekad untuk memberikan yang terbaik khususnya selepas tumbang 0-1 di tangan Perak FC pada aksi terakhir Liga Super, Sabtu lalu.
“Moral pemain sangat tinggi dan kita tahu ini adalah permainan yang berbeza. Kita akan berdepan pasukan yang terbaik di ASEAN.
“Saya memiliki barisan pemain yang terbaik dan tidak kisahlah dalam kalangan pemain utama ataupun pemain simpanan yang akan diturunkan, saya tahu mereka akan memberikan yang terbaik kerana mereka adalah pejuang,” kata Kuljanac.
sumber:-BH
Sebagai rekod, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mengesahkan slot ke separuh akhir ACC 2024/25.