KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City tidak rela tercicir mata di ‘kandang’ sendiri apabila melayan kunjungan Cong An Ha Noi FC pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, esok.
Pengendali skuad City Boys, Miroslav Kuljanac mengakui tugas sukar bakal dihadapi pasukannya memandang lawan dari Vietnam itu hadir dengan status pendahulu Kumpulan B dan memenangi semua tiga aksi awal sebelum ini.
Kuljanac bagaimanapun tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan mengenai status lawan, sebaliknya memberi fokus sepenuhnya untuk meraih kemenangan dan membuka peluang lebih cerah ke separuh akhir.
“Kami menentang pasukan yang bagus tetapi pemain sudah pun bersedia untuk tunjukkan kualiti. Sudah tiada masa untuk merungut dan sekarang kami mahu berjuang untuk diri sendiri, kelab dan maruah.
“Kami bermain di tempat sendiri dan saya tahu pemain tidak akan mengalah walaupun perlawanan kali ini agak sukar. Mengenali pemain, saya sedar segala kemungkinan dan bagi saya bola sepak tidak boleh dijangka,” katanya.
KL City ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan, berkongsi enam mata dengan gergasi Thailand, Buriram United manakala Cong An Ha Noi FC unggul di puncak dengan mengumpul sembilan mata.
Sementara itu, pengendali Cong An Ha Noi, Alexandre Polking turut menaruh impian besar untuk anak buahnya meneruskan rentak kemenangan dan melangkah ke separuh akhir.
Malah, pengalaman luasnya di rantau Asia Tenggara termasuk pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand menjadi ‘senjata’ buat Cong An Ha Noi memerangkap KL City.
“Kami berdepan kelewatan penerbangan tetapi itu bukan masalah utama dan latihan akhir hari ini adalah untuk sesuaikan diri dengan padang dan berharap kami dapat manfaatkan kesempatan ini untuk mara ke separuh akhir.
sumber:-BH
“Saya sudah lama berada di sini (rantau Asia Tenggara) dan saya kenal ramai pemain termasuk KL City yang turut dibarisi pemain kebangsaan Malaysia. Kami tahu apa mereka boleh lakukan, namun fokus kami adalah kepada apa yang kami mahu lakukan,” katanya.