KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) Rovers FC memohon pertimbangan dan rayuan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan mereka beraksi di Liga Super musim ini.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu, semalam mengumumkan Perlis United FC diarahkan memenuhi syarat tambahan sebelum layak menerima lesen luar biasa dan boleh beraksi di Liga Super.
Namun, KL Rovers yang turut menghantar permohonan bagi mendapatkan lesen terbabit merayu kepada MFL untuk memberikan lesen Liga Super termasuk mempertimbangkan pasukan Imigresen FC dan Harini FC bagi mencukupkan 16 pasukan dalam Liga Super.
Pengurus Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad menjelaskan pasukan itu bersedia daripada segala segi termasuk menghantar dokumentasi pelesenan kelab sebelum tarikh tutup permohonan.
“Mungkin penilaian daripada pihak MFL merasakan kami tidak layak, namun jika ada kriteria yang tidak lengkap kami memohon agar diberikan ruang untuk memenuhinya, seperti mana ruang yang diberikan kepada pasukan Perlis.
“Kami sudah menjadi naib juara Liga M3 selama dua tahun. Sudah tentu impian kami untuk bermain di Liga Super selepas itu,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan pasukan jika tidak dapat bermain di Liga Super, Fadzlie berkata KL Rovers sudah memohon kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyertai Liga Premier Singapura.
sumber:-BH
“Bukanlah merajuk! Keutamaan kami adalah Liga Super Malaysia, namun kami harus mempertimbangkan segala peluang yang ada,” katanya.