Jakarta: Patrick Kluivert berkata beliau ‘sangat yakin’ Indonesia akan memperoleh keputusan positif menentang China di hadapan penyokong yang memenuhi stadium di Jakarta, esok, sekali gus menghampiri peluang melakar sejarah layak ke Piala Dunia buat kali pertama.
Bekas bintang Barcelona dan Belanda itu menyaksikan pasukannya dibelasah 1-5 oleh Australia dalam perlawanan sulungnya pada Mac lalu, namun mereka bangkit menewaskan Bahrain 1-0 di laman sendiri beberapa hari kemudian untuk menghidupkan semula peluang layak ke Piala Dunia.
“Saya sangat yakin, dan bergantung kepada barisan pemain saya untuk melaksanakan apa yang sudah kami latih,” kata jurulatih itu kepada pemberita, hari ini, menjelang perlawanan penting di Jakarta.
Kluivert membawa skuadnya ke kem latihan di pulau peranginan Bali bagi membuat persiapan menjelang perlawanan penting itu.
Mesyuarat JKKTN setuju tubuh Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius – PM Anwar
“Segala yang kami mahu lihat esok, saya sudah nampak dengan jelas. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini,” katanya.
Jepun kini mendahului Kumpulan C kelayakan Asia dan sudahpun melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, manakala Australia di tempat kedua dengan 13 mata dan turut menghuni satu lagi slot automatik.
Dengan dua perlawanan berbaki, Arab Saudi berada di tempat ketiga dengan 10 mata, satu mata di hadapan Indonesia yang di tempat keempat dengan dua kemenangan dan tiga seri. Bahrain dan China masing-masing mempunyai enam mata.
Pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat akan melalui satu lagi pusingan kelayakan, laluan yang paling cerah buat Indonesia untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak mencapai kemerdekaan pada 1945.
Indonesia kini giat merekrut pemain kelahiran Belanda, dengan kerjasama jurulatih dari bekas penjajah negara itu, bagi meningkatkan prestasi pasukan.
Seramai kira-kira 76,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Gelora Bung Karno, esok, dengan Kluivert berharap sorakan padu penyokong akan membantu pasukannya meraih kemenangan.
sumber:- HM
“Saya harap kami dapat memberikan mereka keputusan yang baik,” katanya.