Bukan sekadar mahu menamatkan perlawanan dengan kemenangan, Kuching City FC tampil dengan rasa lapar yang berbeza apabila membelasah Kelantan Red Warriors (KRW) 5-1 untuk melangkah ke suku akhir Piala FA dengan agregat 5-1, malam tadi.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, menyifatkan kemenangan besar itu sebagai gambaran peningkatan prestasi anak buahnya yang menurutnya semakin menyesuaikan diri dengan jadual padat serta tuntutan beraksi dalam beberapa pertandingan.
Aidil berkata, anak buahnya turun dengan keinginan lebih tinggi berbanding perlawanan terdahulu dan tidak menganggap jadual berturut turut serta aksi di gelanggang lawan sebagai alasan untuk gagal memberikan persembahan terbaik.
“Saya mahu beri kredit kepada pemain kerana bekerja keras untuk mendapatkan persembahan dan keputusan yang baik. Kalau lihat perlawanan di Kelantan, ia cerita berbeza kerana kami ada sedikit masalah dalaman, tetapi kami tidak akan kongsikan perkara itu.
“Ia bukan alasan, tetapi kami tahu perlawanan hari ini juga sukar kerana pemain Kelantan sentiasa bekerja keras. Tidak kira pemain asing atau tempatan, bola sepak tetap 11 pemain dan hari ini pemain kami menunjukkan rasa lapar yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut Aidil, tahap komitmen pemain menjadi lebih penting apabila mereka hanya mempunyai tempoh pemulihan sekitar satu atau dua hari sebelum kembali turun beraksi, selain banyak masa dihabiskan dalam bilik hotel sepanjang jadual perjalanan yang padat.
Katanya, pemain tetap menunjukkan sikap profesional dengan menjaga diri dan membuat persiapan sebaik mungkin, sekali gus membolehkan mereka mengekalkan tahap permainan walaupun berdepan keletihan.
“Bukan mudah untuk memotivasikan pemain. Kami sudah bersama sejak sebelum perlawanan pertama Liga Super dan tempoh pemulihan mereka hanya satu atau dua hari.
“Tetapi saya hormat cara mereka berkelakuan, mengurus diri dan membuat persiapan sebelum perlawanan. Komitmen mereka sangat penting dan keputusan ini menunjukkan mereka tidak berhenti walaupun sudah mendahului 1-0 atau 2-0 kerana masih mahu menunjukkan kualiti,” katanya.
Sebelum itu, Kuching City FC melangkah ke suku akhir Piala FA dengan bergaya apabila menewaskan KRW FC 5-1 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Selepas terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, 1 September lalu, skuad The Cats tampil lebih garang untuk mendahului menerusi Wenzel Halls Dylan pada minit kesembilan sebelum Safawi Rasid menggandakan kelebihan 11 minit kemudian.
Ronald Ngah Wanja kemudian melebarkan jurang pada minit ke 53 sebelum KRW meraih gol menerusi Mazwan Che Mat pada minit ke 67.
Namun, Wanja melengkapkan gol keduanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 sebelum Kaishu Yamazaki menanduk masuk gol kelima Kuching City pada minit ke-80, sekali gus memastikan kemenangan 5-1.