Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu memastikan penyertaannya dalam dua kejohanan di Australia dan New Zealand, Disember ini, bukan sekadar mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sebaliknya turut menguji kemampuan menerusi saingan kompetitif bagi meningkatkan prestasinya.
Jelas Azizulhasni, pemilihan kejohanan perlu dilakukan secara teliti memandangkan jadual pertandingan musim ini agak padat dan memerlukan pengurusan tenaga serta beban latihan yang seimbang.
Katanya, faktor perjalanan, intensiti latihan dan kekerapan pertandingan juga perlu diambil kira bagi mengelakkan keletihan yang boleh menjejaskan prestasi di atas trek.
“Musim ini agak padat kerana banyak pertandingan berlangsung dalam tempoh yang rapat. Jadi, kita perlu memilih kejohanan dengan berhati-hati kerana tidak mahu terlebih latihan atau mengalami keletihan.
“Saya tidak mahu pergi ke kejohanan Kelas 2 semata-mata untuk mendapatkan mata dengan mudah tetapi tahap persaingannya tidak cukup tinggi. Ia seperti membazir masa dan tenaga kerana kita bukan sahaja mahu mata, malah mahukan saingan kompetitif untuk meningkatkan prestasi,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi bersama SLM Bicycle dan Trek Bicycle Malaysia, hari ini.
Mengulas pemilihan Australia dan New Zealand, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata, kedua-dua destinasi itu menawarkan tahap persaingan yang baik selain lebih dekat dengan lokasi beliau berpangkalan ketika ini.
Baginya, kejohanan di New Zealand tetap mampu memberikan cabaran menerusi kehadiran pelumba berkualiti, manakala saingan di Australia dijangka lebih sengit dengan penyertaan keseluruhan skuad negara itu termasuk pelumba negeri dan kelab.
“Australia memang tidak perlu dipersoalkan tahap persaingannya. Apabila berlumba di sana, keseluruhan skuad Australia akan turut serta termasuk pelumba negeri dan kelab. Jadi, tahap persaingannya memang tinggi dan itu sesuatu yang bagus untuk saya,” katanya.
Selepas mengharungi dua kejohanan berkenaan, pelumba berusia 38 tahun itu akan mengalihkan fokus kepada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional, Nilai, pada penghujung Januari tahun depan.