sukan

Komen Bidoglio selepas belasah Perak

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan barisan pemainnya selepas membelasah Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Namun pengendali kelahiran Argentina itu enggan terlalu mendabik dada dan menganggap perjalanan untuk ke garisan penamat bagi memburu kejuaraan liga buat kali ke-11 berturut-turut masih berliku dan perlu berwaspada apabila memulakan pusingan kedua liga kelak.

“Saya tidak mahu memikirkan lagi untuk buruan kejuaraan liga, banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi kerana selepas ini kita perlu beraksi di pentas Piala Malaysia selain memberi tumpuan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“Tidak dinafikan pemain terpaksa berdepan jadual perlawanan yang padat namun mereka tanggungjawab dengan aksi konsisten malah mengikut perancangan taktikal yang dibuat walaupun mendapat tentangan tapi mereka dapat atasi.

“Saya gembira apabila pemain menunjukkan kesungguhan mereka ketika diturunkan, pada separuh masa pertama kami beraksi dengan baik dan berjaya mencetak empat gol.

“Pada babak kedua, pemain mula memperlahankan tempo permainan, ada masanya pemain mengalami kesukaran untuk mengekalkan intensiti yang sama selepas selesa mendahului lawan.

“Saya tidak begitu suka apabila pasukan mengendurkan intensiti permainan kerana JDT perlu agresif dan dinamik sepanjang perlawanan, namun ia boleh difahami kerana kami sudah bermain tiga perlawanan dalam tempoh 11 hari,” kata Bidoglio.

Dalam perlawanan menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila meledak hatrik hasil jaringan pada minit ke-23, minit ke-48 dan minit ke-88 dan mengumpul 16 jaringan sepanjang saingan liga manakala dua gol lagi dihasilkan Romel Morales pada minit ke-21 dan minit ke-35 permainan.

Mengulas lanjut, Bidoglio berpuas hati dengan persembahan Morales yang membuktikan sentuhan jaringannya masih berbisa walaupun jarang berada dalam kesebelasan utama.

“Bagi saya, Romel (Morales) bermain dengan baik secara berpasukan hari ini, dua jaringan yang dihasilkan pada perlawanan itu memberi suntikan semangatnya untuk lebih dahagakan jaringan.

“Kita akui bagi posisi penyerang itu, ia mempunyai persaingan yang sengit kerana kita mempunyai ramai penyerang yang berkaliber. Romel juga tidak terkecuali dan dia adalah pemain penting dalam skuad Harimau Selatan,” katanya.

sumber:-BH

JDT akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 16 November ini sebelum aksi ACLE menentang Shandong Taishan di Stadium Olimpik Jinan, 26 November ini.