Kuala Lumpur: Pemain warisan yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan perlu memiliki semangat patriotik dan bermain demi lencana di dada bagi mendapatkan keputusan buat Harimau Malaya.
Pesanan itu dinyatakan pemain kebangsaan, Brendan Gan sambil menyifatkan semangat atau aura berbeza akan dapat dipamerkan pemain warisan di atas padang apabila wujud perasaan sayang terhadap negara.
Tonggak tengah Kuala Lumpur (KL) City itu menegaskan bahawa peluang menyarung jersi Harimau Malaya adalah satu penghargaan buat mana-mana pemain termasuk pemain warisan atau berdarah campuran.
“Saya tidak tahu adakah saya ada nasihat (kepada pemain warisan yang bakal perkuatkan Harimau Malaya) tetapi saya fikir mereka perlu sayangkan lencana dan jersi setiap kali mereka menyarung jersi kebangsaan.
“Satu penghargaan apabila bermain untuk Malaysia dan saya yakin itulah mesej perlu diberikan kepada pemain yang datang. Pemain yang terpilih pasti akan lakukan yang terbaik tetapi mereka juga perlu mempunyai perasaan cintakan negara.
“Anda kena bermain dengan baik dan pada masa yang sama menyayangi lencana yang dibawa. Saya yakin pemain berkenaan akan melakukan semua itu,” katanya.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan enam hingga tujuh pemain warisan yang beraksi di Eropah sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
sumber:-BH
Tunku Mahkota Ismail memaklumkan pemain warisan berkenaan terdiri daripada pemain di posisi pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri dengan kebanyakan bermain di Selatan Eropah.