KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Red Warrior (KRW), Irfan Bakti Abu Salim menarik nafas lega susulan KRW mengikat Kuching City tanpa jaringan pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, malam tadi.
Irfan berkata, keputusan itu tidak mudah kerana Kuching antara pendahulu liga dan pasukan yang kuat.
Katanya, pujian sepatutnya diberikan kepada pemain yang berjuang hingga ke wisel penamat.
“Pemain beri permainan yang bermutu sikit, ini sahaja pemain yang kami ada, dengan pemain yang tak pernah main di Liga Super, pujian harus diberikan kepada pemain dan terima kasih penyokong yang hadir malam ini.
“Pemain-pemain saya dapat menandingi bola yang tinggi, itu ujian yang mereka lulus malam ini,” kata Irfan di sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Irfan berkata, pasukan turut merekod peluang terbuka untuk menjaringkan gol hasil umpanan cantik import, Emmanuel Mbarga namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mohd Faiz Mohd Nasir.
Katanya, hantaran itu sepatutnya dapat menghasilkan gol buat KRW.
“Messi (Mohd Faiz), dapat peluang cantik, tapi miss (terlepas), kalau kami peluang terbuka, kami tak ambil, rugilah,” katanya.
Irfan berkata, pasukan masih berharap isu sekatan perpindahan pemain yang dihadapai KRW diselesaikan segera bagi membolehkan pasukan mengambil import baharu sekaligus memperkuat jentera menghadapi baki saingan musim ini.
Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, Kelantan beraksi dengan baik malam tadi dan memberikan tekanan buat pasukannya.
Katanya, keputusan 0-0 itu membuatkan pasukan perlu lebih bekerja keras untuk perlawanan timbal balik nanti.
“Daripada kami selesa untuk hadap aksi kedua, kami dapat lihat semangat yang berbeza, permainan yang bagus, untuk Kuching, ada sesuatu yang kami boleh perbaiki.
“Hari ini (malam tadi) bukan negatif, kami seri, kami tak bolos, kami tak kalah, tapi kami boleh buat lebih baik,” kata Aidil.