SABAH FC kekal sebagai pilihan utama Datuk Ong Kim Swee untuk meneruskan tugas sebagai pengendali jika diminta membuat keputusan mengenai perancangan masa depannya.
Beliau kini menunggu keputusan pengurusan Sabah FC berhubung kedudukannya kerana kontraknya akan tamat pada akhir bulan ini selepas berkhidmat sejak tahun 2021.
Kim Swee berkata, beliau menghormati apa saja keputusan pengurusan Sabah FC berhubung statusnya, sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.
Saya sudah dimaklumkan oleh Pengurus Sabah FC, Rafie Robert, di mana pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan apa hala tuju pihak pengurusan.
Bagi saya, saya sudah katakan dari awal Sabah FC adalah pilihan utama dan saya harus menghormati apa juga keputusan sama ada saya kekal atau tidak.
Saya percaya ini akan memberi banyak spekulasi dan bagi saya tugas saya hanya akan berakhir buat masa ini pada penghujung November, kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Kim Swee mengambil alih kejurulatihan Sabah FC daripada pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto pada tahun 2021 dan berjaya melonjak Sang Badak ke kedudukan tiga terbaik carta Liga Super selain membawa pasukan ke saingan Piala AFC pada tahun lalu.