KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky, menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus kepada pemain beregu wanita berpengalaman, Goh Pei Kee dan Teoh Mei Xing, bagi memastikan peranan mereka membimbing atlet muda meningkatkan tahap permainan ke peringkat lebih tinggi.
Rexy berkata, pengalaman dimiliki kedua-dua pemain itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya dalam membantu pemain muda menyesuaikan diri dengan cabaran dan tekanan saingan antarabangsa.
“Ini hasil perbincangan kami bersama barisan kejurulatihan termasuk ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak. Kita mahu pemain berpengalaman ini ‘mengangkat’ pemain muda ke tahap lebih jauh. Itu KPI utama mereka.
“Dalam tempoh beberapa bulan ini kita akan lihat perkembangan mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Pei Kee dan Mei Xing tidak lagi bergandingan selepas Pei Kee mengemukakan permintaan untuk berpisah, sekali gus memaksa rombakan dalam struktur beregu wanita negara.
Bagi kejohanan akan datang, Mei Xing akan membentuk gandingan sementara bersama pemain remaja, Tan Zhing Hui, manakala Pei Kee pula digandingkan dengan Cheng Su Hui bagi dua kejohanan di Singapura iaitu Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 (24 Februari hingga 1 Mac) dan Siri Antarabangsa Singapura 2026 (3 hingga 8 Mac).
Menurut Rexy, KPI yang ditetapkan tidak bersandarkan tempoh masa tertentu, sebaliknya dinilai berdasarkan perkembangan yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan.
“Kita mahu lihat sama ada gandingan ini menjadi atau tidak. Kita akan nilai dalam beberapa kejohanan,” jelasnya.
Rexy turut menegaskan barisan kejurulatihan tidak akan memaksa pemain untuk terus bergandingan sekiranya sudah tiada keserasian atau keinginan, sebaliknya fokus akan diberikan kepada gandingan lain yang menunjukkan potensi seperti Ong Xin Yee-Carmen Ting yang ketika ini menduduki ranking ke-25 dunia.
Sebagai rekod, gandingan Pei Kee-Mei Xing mula bergandingan pada Jun 2024 dan pernah mencatat pencapaian terbaik apabila melonjak ke ranking ke-18 dunia, selain meraih satu kejuaraan menerusi kejayaan menjuarai Malaysia Super 100 pada 2024.