sukan

Komen tanpa berselindung Dollah Salleh selepas aksi berdepan Kuching City

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Datuk Dollah Salleh menjelaskan krisis tidak cukup pemain yang dihadapi skuad City Boys pada dua perlawanan awal musim ini menjadi pengalaman pertama dialami dalam hidupnya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengalami detik sukar itu termasuk sepanjang kariernya bergelar sebagai pemain dan jurulatih dalam bola sepak.

Malah, beliau mengakui tidak senang hati ketika memimpin skuad itu berdepan Kuching City dengan hanya berbekalkan dengan 10 pemain dalam skuad utama pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

“Tidak pernah terjadi dalam hidup saya (pasukan tidak cukup pemain), ini kali pertama. Malah, orang yang menguruskan makanan pasukan pun katakan kepada saya ‘jangan risau Datuk’ dan macam-macam lagi dia cakap.

“Dia tengok saya pun tidak senang hati, pusing sana, pusing sini, kerana saya fikirkan benda ini. Saya cuma katakan kepada pemain jangan terlalu fikirkan keputusan, paling penting tunjuk yang terbaik sebab kami sudah agak satu keputusan yang negatif akan kami tempuh,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dollah hanya menurunkan 10 pemain dalam skuad utama berdepan Kuching City kerana tidak cukup pemain susulan sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Walaupun Kuching City juga terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas James Okwuosa dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama, namun skuad City Boys tetap mengalami mimpi ngeri apabila dibelasah The Cats 6-0.

Dollah bagaimanapun boleh menarik nafas lega selepas FIFA sudah membebaskan KL City daripada sekatan pendaftaran pemain dan kelab itu boleh mendaftarkan pemain baharu untuk aksi berdepan DPMM FC, Sabtu ini.

Selain itu, Dollah mengakui kekalahan besar kepada Kuching City yang juga naib juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu sudah beliau jangka dari awal berdasarkan skuad tempang yang dimiliki KL City.

“Pada babak pertama kami bermain dengan 10 orang dan pemain sudah bagi maksimum. Walaupun kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain pada separuh masa, tetapi kami sudah berikan maksimum pada babak pertama.

“Itu yang membuatkan pemain nampak keletihan dan nak buat pertukaran, kami tiada orang. Sebab itu kami banyak bertahan untuk mengurangkan jaringan daripada Kuching City.

“Saya nampak komitmen pemain, bermain mati-matian dan saya pun kesian dengan mereka. Apa pun mereka sudah bagi yang terbaik, saya nak tegur banyak pun dengan keadaan mereka seperti itu (tidak cukup pemain), cuma mampu bagi semangat sahaja kepada pemain,” katanya.