sukan

Komen tanpa berselindung Jonassen terhadap pemain perseorangan lelaki negara

KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan perseorangan lelaki negara perlu mencari pendekatan baharu bagi memastikan pemain utama termasuk Leong Jun Hao mampu mengeluarkan potensi maksimum mereka selepas kempen kurang memberangsangkan di Kejohanan Badminton Seluruh England 2026.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen mengakui keputusan di Birmingham itu tidak seperti diharapkan walaupun persiapan rapi sudah dilakukan sebelum kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan.

Menurutnya, barisan pemain negara sepatutnya mampu memberikan cabaran lebih sengit, namun beberapa kelemahan yang dikenal pasti menjejaskan peluang mereka untuk mara lebih jauh.

Jun Hao terlebih dahulu memberi sinar awal buat kem negara apabila menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, kemaraannya terhenti pada pusingan kedua sekali gus menamatkan cabaran perseorangan lelaki Malaysia dalam kejohanan berprestij itu.

Jonassen berkata berdasarkan penilaian pasukan kejurulatihan, antara faktor utama kekalahan pemain adalah tempo pergerakan di gelanggang yang tidak cukup pantas selain kegagalan melaksanakan pelan permainan yang dirancang.

“Sudah tentu kami mengharapkan keputusan yang lebih baik di Kejohanan Seluruh England, tetapi ia tidak berlaku seperti yang dirancang,” kata Jonassen.

Beliau menjelaskan kekurangan daripada segi pergerakan dan ketajaman di gelanggang menyukarkan pemain untuk mengekalkan tekanan terhadap lawan sepanjang perlawanan.

“Masalah utama adalah tempo pergerakan yang kurang pantas dan pemain tidak melaksanakan pelan permainan seperti dirancang,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana kejohanan besar seperti Seluruh England menuntut pemain berada pada tahap prestasi tertinggi sepanjang perlawanan.

Pada masa sama, Jonassen menegaskan barisan kejurulatihan akan terus menilai semula pendekatan latihan bagi membantu pemain mencapai potensi sebenar mereka.

Beliau percaya dengan kaedah latihan yang lebih sesuai, pemain perseorangan lelaki negara mampu meningkatkan tahap permainan sekali gus kembali memberi saingan di pentas antarabangsa.