Pengendali Sabah FC, Jean-Paul de Marigny mengakui kealpaan barisan pemainnya yang membiarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai sepenuhnya bahagian tengah menjadi punca kekalahan besar 0-8 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Jurulatih kelahiran Australia itu berkata, kelemahan berkenaan menyebabkan persembahan anak buahnya hilang arah dan gagal menampilkan pendekatan taktikal yang berkesan apabila diasak hebat juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
“JDT mendominasi sepenuhnya di bahagian tengah dan melancarkan serangan bertali arus. Kami terasa seperti ‘outnumbered’ dan tidak mampu bernafas.
“Malah, Stuart (Wilkin) dan Gary (Steven Robbat) gagal berfungsi dengan baik di posisi tengah.
“Segala perancangan yang dilakukan juga serba tidak menjadi, kita cuba mengasak mereka namun mereka tidak berganjak menyebabkan pasukan terus ditekan sepanjang perlawanan dan kami terus dihukum pada babak kedua apabila mereka tambah tiga gol lagi,” katanya.
Pada perlawanan itu, Joao Figueiredo pada minit ke-11, minit ke-23 dan minit ke-45 dan Bergson Da Silva pada minit ke-61, minit ke-74 dan minit ke-90 masing-masing masing-masing meledak hatrik manakala Oscar Arribas pada minit keenam masing-masing menjaringkan satu gol.
De Marigny berkata, kekalahan memalukan itu adalah satu pengajaran buat pasukan yang merekodkan kekalahan pertama musim ini dan menuntut pemain untuk bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, 27 September ini.
Pengendali berusia 61 tahun yang belum meraih kemenangan pada musim ini tidak panik dengan situasi itu selepas percaya akan kemampuan pasukannya.
“Sudah tentu saya kecewa dengan keputusan perlawanan ini namun ini adalah sebahagian daripada perlawanan dan proses pembelajaran buat pemain dalam membentuk karakter yang lebih kental.
“Perlawanan musim ini masih panjang, jadi kami perlu segera perbaiki diri dan belajar untuk menjadi lebih balik, kembali fokus dan bersiap sedia berdepan lawan yang seterusnya,” ujar De Marigny.